Sunday, May 30, 2010

Tarian Zapin Johor merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian Zapin ini dipercayai berasal dari Tanah Arab yang geraknya adalah cepat dan tidak banyak gerak bunga tarinya. Tarian ini popular pada tahun lima puluhan dan enam puluhan. Zapin Johor dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab. Kedua-dua tarian ini memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realitinya kedua-dua genre zapin itu berasal daripada satu keseniaan masyarakat Arab yang dibawa dari Hadramaut.
Di Johor, Malaysia, tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam dan berfungsi sebagai hiburan sama ada pada upacara-upacara sekular mahupun pada sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun lahir daripada adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.
Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan sesama mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu di samping meminggirkan persaingan antara pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan. Jika ditinjau daripada perspektif inilah,maka keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor amat terserlah.
Tarian Kuda Kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas pada jalan cerita itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperperangan Rasulallah dan para sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka. Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan.
Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya darik berketurunan Jawa. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.
Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini. Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Setelah waktu berlalu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar. Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Monday, May 10, 2010

Tarian Sumazau

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.
Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.
Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.
Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.
Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.
Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.
Kini tarian Sumazau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaan, di mana ia turut juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut tanpa memakai pakaian tradisional hitam.